
SAHABAT SEJATI
“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya,
kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama,
melihat gerak-gerinya teringat mati..’
ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini
berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita
tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada
manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan,
dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang
normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada
berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan(dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’
DALAM Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan
persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat
berperanan dalam membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup
bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan
yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru,
jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan
hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut agama
temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi
temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak
wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan
tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai
berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu
untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang
sifatnya seperti berikut:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
- Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
1 comment:
suke entri ni :) btw, akk buang word verification ea? supaya senang org nak komen :D
Post a Comment